Mati Dalam Kereta Akibat Serangan Sakit Jantung

Mati Dalam Kereta Akibat Serangan Sakit Jantung

0
SHARE

TAIPING – Seorang lelaki ditemui mati akibat serangan jantung dalam keretanya berdekatan lampu isyarat Taman Kota Jaya, Simpang dekat Taiping, pagi hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian yang berlaku lebih kurang jam 7.30 pagi itu, mangsa yang juga anggota polis marin ditemui orang ramai selepas enjin Perodua Viva dibiarkan hidup namun dia tidak sedarkan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, mangsa yang berumur lingkungan 50 tahun bertugas di Pengkalan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan.

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumahnya di Parit Buntar pada 4.50 pagi menuju ke tempat kerja.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum disedari oleh orang awam yang melihat keadaannya tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Taiping dan hasil bedah siasat mengesahkan kematiannya akibat serangan jantung.

“Siasatan di tempat kejadian dan pada tubuh mangsa menunjukkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa meninggalkan seorang isteri yang bekerja sebagai guru dan tiga anak perempuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Izuan Che Ibrahim berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 9.05 pagi, sebuah jentera bersama sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami dapati seorang lelaki berada dalam kereta tidak sedarkan diri selain enjin masih hidup.

“Anggota bomba bertindak memecahkan cermin tingkap belakang dan mayat diserahkan kepada polis selepas pasukan perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.