Polis Siasat Kes Taib Mahmud Dikatakan Dibawa Keluar Dari Hospital Secara Paksa

Polis Siasat Kes Taib Mahmud Dikatakan Dibawa Keluar Dari Hospital Secara Paksa

0
SHARE
Taib
Bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUCHING, SARAWAK – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari sebuah hospital swasta, di sini, tengah malam tadi.

Memetik sumber Berita Harian, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Pihak polis kontinjen Sarawak telah terkesan satu posting tular membabitkan bekas TYT Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang dimuat naik di media sosial.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan perkara ini dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya lagi, perbuatan menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan ialah kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Laporan polis yang didakwa dibuat oleh seorang doktor hospital swasta itu tular di media sosial, hari ini.

Susulan itu, portal berita yang berpangkalan di London, ‘Sarawak Report’ mendakwa berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang doktor berkenaan, Abdul Taib yang sedang menerima rawatan dibawa balik secara paksa ke rumahnya di Demak Jaya, di sini, tengah malam tadi.

Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg enggan menjawab sebarang spekulasi berhubung dakwaan bekas Ketua Menteri Sarawak berusia 87 tahun itu dibawa keluar dari bilik unit rawatan rapi (ICU) tengah malam tadi seperti didakwa oleh portal berita Sarawak Report.

“Saya tidak tahu” katanya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut spekulasi itu.

Laporan portal berita yang berpangkalan di London itu yang bertajuk ‘ Taib ‘absconded’ at midnight from hospital ICU against doctors orders by Raghad’ mencetus tanda tanya orang ramai.