Suami Isteri Mabuk dan Bertengkar Sebelum Suami Bakar Isteri

Suami Isteri Mabuk dan Bertengkar Sebelum Suami Bakar Isteri

0
SHARE
Rumah mangsa musnah selepas suami membakar isterinya di Kampung Tinagalan, Sook, Keningau Sabtu lalu. (Sumber: Ihsan PDRM)

KENINGAU: Sepasang suami isteri berada dalam keadaan mabuk akibat minum minuman keras jenis ‘tapai’ yang kemudian bertengkar sebelum suami bertindak membakar isterinya dalam kejadian di Kampung Tinagalan, Sook pada Sabtu lalu.

Wanita yang dibakar itu dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Keningau pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut di antara pasangan berusia 50 tahun dan 41 tahun itu dalam keadaan mabuk. 

Katanya, keadaan menjadi luar kawalan apabila suami mengugut untuk membakar isteri dan kemudian dicabar sendiri oleh mangsa.

 

“Suspek dilaporkan menyimbah isterinya dengan petrol sebelum menyalakan mancis dan terus mencampakkan kepada mangsa.

“Anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia 16 tahun menyedari kejadian itu bertindak terus untuk membawa keluar dua adiknya dari rumah berkenaan bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, remaja berkenaan terus membantu memadamkan api di badan ibunya sebelum cuba mendapatkan bantuan dari bapa saudaranya.

“Suspek sendiri kemudian membawa mangsa ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Keningau bagi tujuan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunai oleh pihak Hospital Keningau pada jam 1.41 petang, Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, suami mangsa sudah ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampai dan ujian saringan air kencing juga negatif,” jelasnya.