KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (badan bukan kerajaan – NGO), Makinsos Nawai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan membabitkan peruntukan pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus bernilai RM2 juta.
Tertuduh, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A. Dadi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah, didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan bagi dirinya sendiri iaitu peruntukan Pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus berjumlah RM2,000,000 daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar tahun 2022 di Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus, Kota Marudu, apabila mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan berkenaan tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah, walaupun mempunyai kepentingan dalam urusan permohonan peruntukan dan pelaksanaan projek tersebut.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Baharom, manakala tertuduh diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan, Prabjit Singh Gill dan Ian Vun Chit Khen.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin tempatan yang mempunyai pekerjaan tetap dan alamat kediaman tetap, selain menetapkan RM5,000 sebagai wang jaminan yang perlu didepositkan secara tunai.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai atau sehingga perintah lain dikeluarkan oleh mahkamah, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran mahkamah.
Tertuduh juga diperintahkan supaya tidak mengganggu, menghubungi atau mempengaruhi mana-mana saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Mahkamah seterusnya menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes (PTCM), manakala perbicaraan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November depan.






