PENAMPANG: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang bayi di Kampung Goliga Kolopis di sini, kira-kira jam 11.52 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mayat bayi yang dipercayai tidak cukup sifat itu ditemui di kawasan berhampiran rumah pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta Unit K-9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran bayi dengan cara membuang mayat secara sulit, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Tambahnya, polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab dan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan.






