KOTA KINABALU: Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, Gwynne Mia Erbin, ditemui selamat di hadapan rumah rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam, petang tadi selepas kehilangannya turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 3 petang dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika ditemui, mangsa berada bersendirian dalam keadaan sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil keterangan awal mendapati mangsa memaklumkan bahawa dia telah mengikut seorang rakan sejak hari sebelumnya sebelum ditemui.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Sebarang maklumat berkaitan kes hendaklah dirujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia melalui saluran rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, pihak polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan kerjasama, menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan orang hilang sebelum ini.






