STAR Sokong Penuh Kerajaan PN Dan Tan Sri Muhyiddin Yassin – Jeffrey...

STAR Sokong Penuh Kerajaan PN Dan Tan Sri Muhyiddin Yassin – Jeffrey Kitingan

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan...

KOTA KINABALU, SABAH – PresidenParti Solidariti Tanah Airku, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan menyokong penuh kerajaan pusat di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Jeffrey dalam satu kenyataannya semalam berkata beliau dan Parti STAR akan terus menyokong penuh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk memimpin Malaysia.

“Tidak timbul langsung soalan untuk menukar pendirian dan sokongan kepada sesiapa pun yang berangan-angan ingin mengganti Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya lagi, “dalam usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan berharap dilantik sebagai perdana menteri, beliau harus ingat bahawa dari kacamata rakyat didalam senario kini, beliau hanya merosakkan kredibilitinya sendiri dan dilihat sebagai seorang yang gila kuasa ingin merebut jawatan perdana menteri tanpa mempedulikan akibatnya kepada rakyat jelata.

“Adalah lebih baik beliau menjalankan tanggungjawab beliau membantu penduduk kawasannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan menyumbang tenaga dan usaha membantu kerajaan dan rakyat memerangi musuh yang tidak boleh dilihat iaitu wabak COVID-19 serta membantu memulihkan ekonomi di mana ramai rakyat dan banyak perniagaan terkesan akibat tragedi ini,” jelas Jeffrey.

Oleh itu, Jeffrey mengingatkan rakyat Malaysia khususnya di Sabah agar tidak terpengaruh dengan tindakan terdesak Anwar tersebut.

“Mereka harus berhati-hati dan mematuhi SOP-SOP agar kelak kes COVID-19 dapat di bendung dalam masa terdekat dan kita dapat balik ke landasan yang sepatutnya demi memulihkan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.