LABUAN: Projek naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Labuan kini mencapai 82 peratus kemajuan fizikal, melebihi jadual asal iaitu 73 peratus, menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah.
Projek bernilai RM21.4 juta ini dimulakan pada 1 Disember 2021 dan dijadual siap sepenuhnya pada 10 Disember 2025.
Ia merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk memperkasa kemudahan sukan dan belia di pulau bebas cukai itu.
Skop kerja melibatkan pembinaan semula dan baik pulih bangunan dewan utama dan stadium, penambahbaikan padang bola sepak, trek larian serta kemudahan olahraga.
Kolam renang lama turut dirobohkan, manakala gelanggang tenis dan terbuka dibaiki, termasuk penggantian bumbung tempat duduk utama stadium.
Mohd Faizul menyifatkan kemajuan projek sebagai hasil pengurusan cekap, komitmen tinggi kontraktor serta kerjasama erat antara JKR dan Jabatan Belia dan Sukan Labuan.






