KALABAKAN: Seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai buruh ditahan polis selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Mangga, Kalabakan, dalam satu rondaan cegah jenayah pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan oleh sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) kira-kira jam 11.20 pagi, selepas gerak-gerinya mencetuskan kecurigaan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan rutin di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang barangan salah pada tubuh suspek. Namun, ujian saringan air kencing yang dilakukan di Balai Polis Kalabakan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
ACP Jasmin turut menegaskan bahawa polis akan terus memperhebatkan usaha memerangi penyalahgunaan dadah, terutamanya di kawasan pedalaman yang dikenal pasti sebagai titik panas aktiviti tidak bermoral.
Beliau menyeru orang ramai agar tidak berkompromi dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat serta tidak melindungi individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Tiada kompromi terhadap kegiatan yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tegas beliau.






