KOTA SAMARAHAN, SARAWAK – Terdapat 15 isu lagi bawah pemantauan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) belum selesai.
Isu belum selesai termasuklah kuasa negeri atas isu kesihatan, kuasa baki perundangan alam sekitar, tenaga buruh Sarawak dan Sabah serta pelepasan tanah hak milik kepada Persekutuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, kebanyakan isu sudah dibawa kepada Jawatankuasa MKMA63 dan terdapat beberapa perkara masih dalam perbincangan.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Forum Kesedaran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bertajuk “MA63: Dari Perspektif Generasi Millenial” di UNIMAS kelmarin, beliau berkata, antara isu dibawa ke MKMA63 ialah isu pemberian bawah Akta 112 (1) Perlembagaan Persekutuan (Pertambahan Jawatan) dengan Sarawak, dan perbincangan berkaitan bagi royalti minyak serta pembayaran balik tunai petroleum masih berjalan.
Selain itu, menurut beliau penambahan kerusi Parlimen Sarawak, Sabah juga masih dalam perbincangan.
Isu lain yang belum selesai sepenuhnya ialah semakan semula pemberian khas (Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan) wilayah Sarawak dan kuasa kawal selia gas dan elektrik wilayah Sabah.
Ongkili berharap lebih banyak program menerangkan berkaitan pembentukan Malaysia dan matlamat MA63 diadakan di peringkat insititut pengajian tinggi, di seluruh negara.