Russia Tahan Ratusan Orang Di Ukraine – Penyiasat PBB

Russia Tahan Ratusan Orang Di Ukraine – Penyiasat PBB

0
SHARE
Bangunan kediaman musnah akibat serangan tentera Russia, di tengah-tengah pencerobohan Russia ke atas Ukraine, di Kharkiv, Ukraine...(Sumber Foto: Reuters)

GENEVA – Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendokumentasikan penahanan sewenang-wenang dan kehilangan paksa membabitkan lebih 400 individu oleh tentera Russia di Ukraine serta puluhan lagi oleh tentera Kyiv.

Ketua Misi Pemantauan Hak PBB, Matilda Bogner yang berada di Ukraine sejak 2014, mengecam peningkatan dramatik terhadap pencabulan hak manusia sejak Russia melakukan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine, Februari lalu.

Bercakap kepada wartawan dari Odessa, beliau memperincikan ribuan kematian orang awam, dengan ratusan ratus penahanan dilakukan secara sewenang-wenangnya selain pihaknya turut mendokumentasikan penyeksaan dan layanan buruk terhadap tawanan perang.

Katanya, jika terdapat walaupun seorang tawanan perang diseksa dan dilayan dengan buruk ketika berada dalam tahanan, jenayah perang boleh dibuktikan di mahkamah undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya juga mengesahkan tentera Russia dan kumpulan gabungan sewenang-wenangnya sudah menahan atau menghilangkan 416 orang di kawasan yang diduduki atau dikawal mereka.

“Daripada mereka, 16 ditemui mati dan 166 dibebaskan,” katanya yang dipetik AFP.

Menurut Bogner, pihaknya juga mendokumenkan 51 kes tangkapan secara sewenang-wenangnya dan 30 lagi yang boleh mengakibatkan kehilangan paksa yang dilakukan oleh badan penguat kuasa undang-undang Ukraine.

Katanya, pasukan itu mempunyai ‘akses tanpa halangan’ ke tempat-tempat tahanan di kawasan yang dikawal oleh Ukraine.

“Namun Russia tidak memberikan akses kepada tawanan perang yang ditahan di wilayahnya atau kawasan yang dikawalnya…

“Lebih membimbangkan lagi, kami mendokumentasikan tawanan perang dalam tahanan Persekutuan Russia, mengalami penyeksaan dan layanan buruk, dengan beberapa tempat tahanan kekurangan makanan, air, penjagaan kesihatan dan sanitasi yang mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggambarkan ‘proses mengalu-alukan’ yang mana tahanan perlu berjalan di koridor dengan kedua-dua belah laluan itu diawasi tentera bersenjata, bertindak sewenang-wenangnya memukul tahanan dengan teruk.

Selain itu, Bogner turut menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai keadaan kesihatan di blok penjara Olenivka, yang mana beliau berkata tahanan perang (POW) dilaporkan mengalami penyakit berjangkit, termasuk hepatitis A dan batuk kering.

Pasukan itu juga turut mendokumentasikan beberapa kes penyeksaan dan layanan buruk terhadap tawanan perang Russia yang ditawan warga Ukraine, yang biasa dilakukan pada masa penangkapan dan ketika pengangkutan ke kem penjara.