Saksi Sahkan Zara Diangkat Jauh Dari Tempat Ditemui – Shahlan

Saksi Sahkan Zara Diangkat Jauh Dari Tempat Ditemui – Shahlan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Prosiding hari ketujuh inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina di Mahkamah Koroner pada Jumaat mendengar keterangan saksi keenam, seorang pengawal keselamatan sekolah, yang mengesahkan bahawa tubuh pelajar berusia 13 tahun itu telah dipindahkan jauh dari lokasi asal tempat dia ditemui.

Peguam keluarga, Shahlan Jufri, berkata, keterangan pengawal keselamatan itu menjadi antara penemuan penting pada inkues bersama saksi tersebut.

“Saksi keenam ini boleh mengesahkan bahawa badan arwah diangkat jauh daripada tempat asal ditemui. Itu yang pertama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan saksi itu mengesahkan wujudnya budaya yang dipanggil “MA” oleh pelajar asrama, iaitu amalan pelajar senior memanggil pelajar junior untuk ditegur.

Menurut pengawal keselamatan berkenaan, perbuatan itu dilarang di asrama.

Selain itu katanya, saksi juga dimaklumkan mengenai satu insiden kecurian pada malam kejadian apabila seorang pelajar mendakwa kehilangan wang. Bagaimanapun, identiti pelajar terbabit tidak didedahkan.

“Secara ringkas, itulah inti pati keterangan saksi keenam hari ini dan keterangannya telah pun selesai,” kata Shahlan.

Beliau menambah, prosiding minggu hadapan dijangka akan mendengar keterangan saksi baharu, termasuk seorang doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta seorang saksi kanak-kanak, bergantung kepada susunan oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).