Patriotisme dan Toleransi Perkukuh Peranan Belia dalam Pembangunan Sabah

Patriotisme dan Toleransi Perkukuh Peranan Belia dalam Pembangunan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semangat patriotisme dan sikap toleransi dilihat sebagai asas penting dalam memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohammed Razali Razi berkata, generasi muda bukan sahaja pewaris masa depan, malah menjadi penggerak utama dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di Sabah.

Katanya, nilai patriotisme dan toleransi perlu dipupuk secara berterusan melalui program pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan pelajar serta anak muda.

“Kadang-kadang pelajar kurang diberi pendedahan tentang sejarah atau kepentingan patriotisme.

“Nilai itu bukan sahaja diraikan ketika bulan kebangsaan, sebaliknya perlu diamalkan sepanjang masa sebagai asas perpaduan,” jelasnya ketika merasmikan Program Generasi Patriotik 2025 anjuran Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang.

Razali pada masa sama mengingatkan, dalam era media sosial yang serba pantas, generasi muda lebih mudah terdedah kepada maklumat yang tidak sahih.

“Justeru, kefahaman mendalam tentang sejarah dan semangat kebersamaan amat penting bagi membentuk daya tahan terhadap pengaruh luar,” ujarnya.

Beliau menambah, keharmonian hanya dapat dikekalkan sekiranya masyarakat berpegang pada prinsip saling menghormati antara satu sama lain.

Menurut Razali, belia perlu terus tampil sebagai tonggak kepada pembangunan negeri melalui penghayatan nilai patriotisme, toleransi dan perpaduan yang tinggi.

“Belia yang bersatu dengan semangat kebangsaan dan sikap saling menghormati mampu menggerakkan negeri ke arah kemajuan serta memastikan keharmonian terus terpelihara,” katanya.