Autism Fun Run Tarik Lebih 400 Peserta, Sokong Inisiatif Bilik Sensori

Autism Fun Run Tarik Lebih 400 Peserta, Sokong Inisiatif Bilik Sensori

0
SHARE

KOTA KINABALU: Program Autism Fun Run 2026 yang diadakan buat julung kali pada Ahad di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menarik lebih 400 peserta, mencerminkan sokongan padu masyarakat dalam meningkatkan kesedaran terhadap autisme.

Program tersebut melibatkan penyertaan 83 peserta Orang Kurang Upaya (OKU), 100 pengiring serta 60 sukarelawan, termasuk 37 pendaftaran secara terus, sekali gus menunjukkan penglibatan aktif keluarga, komuniti dan kumpulan sokongan.

Program ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Pusat Autisme Sabah (PAUS) serta Lembaga Pelawat Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sembulan, dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia pada April.

Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik dan penaja.

Turut hadir Pengarah JPKA Sabah Jais Asri; Dekan FPSK Prof Madya Dr Fairrul Masnah @ Kadir; serta Penguasa TDKKU Sembulan Mary Sipaji dan Pengerusi Lembaga Pelawat Natalie Gaban.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki yang menyempurnakan pelepasan larian berkata, program tersebut turut bertujuan mengumpul dana bagi melengkapkan sebuah bilik sensori di PAUS, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 65 kanak-kanak di bawah seliaan pusat berkenaan.

“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan penyertaan komuniti secara bermakna, malah menyokong usaha pengumpulan dana bagi menyediakan kemudahan yang dapat meningkatkan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak autisme,” katanya dalam satu kenyataan sempena program tersebut.

Bilik sensori berkenaan direka sebagai ruang terapi untuk merangsang atau menenangkan deria seperti penglihatan, sentuhan dan pendengaran, sekali gus membantu kanak-kanak autisme meningkatkan fokus serta mengawal emosi.

Antara peralatan yang akan disediakan termasuk peralatan ‘bubble tube’, panel dinding bertekstur, sistem pencahayaan fiber optik serta peralatan integrasi sensori seperti buaian dan peralatan permainan lembut.

Selain larian, program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti sokongan termasuk saringan kesihatan, ceramah kesedaran serta aktiviti interaktif berasaskan rangsangan sensori dengan penglibatan wakil fakulti.

Julita berkata program seumpama ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai autisme, khususnya dalam kalangan keluarga yang mempunyai akses terhad kepada maklumat dan perkhidmatan sokongan, terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata berdasarkan statistik JPKA, terdapat kira-kira 7,057 kanak-kanak autisme di Sabah, namun hanya 18 pusat pendidikan khas dan kemudahan berkaitan yang tersedia ketika ini, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memperkukuh akses kepada intervensi awal dan sokongan yang bersesuaian.

Beliau menambah bahawa terdapat keperluan untuk memperluaskan lagi jumlah pusat autisme dan kemudahan khusus di Sabah bagi menyokong kanak-kanak yang memerlukan intervensi awal serta penjagaan berterusan.

“Seiring dengan peningkatan jumlah kanak-kanak yang dikenal pasti dengan autisme, adalah penting untuk memastikan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan sokongan terus diperkukuh agar mereka dapat menerima penjagaan serta sokongan perkembangan yang diperlukan.

“Dalam hal ini, usaha menyokong kanak-kanak autisme perlu terus diperkasa melalui kerjasama erat dan penglibatan komuniti, agar tiada kanak-kanak yang tercicir daripada mendapatkan akses kepada penjagaan, pendidikan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.