Program Creamers Perkasakan Ilmu Usahawan

Program Creamers Perkasakan Ilmu Usahawan

0
SHARE
Creamers
Flovia (tengah) bersama Tarsiah (empat dari kiri), Maria (empat dari kanan) dan Imelda (kiri) merakamkan gambar kenangan dengan penerima Anugerah Usahawan Cemerlang CreaM@YWE ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Program Creating Millionaires Among Young Women Entrepreneurs (CREAMERS) dapat memperkasakan ilmu keusahawan, pengurusan kewangan serta pemasaran secara maya atau bersemuka.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James berkata, ia merupakan program keusahawanan yang melibatkan usahawan wanita muda dan menumpu kepada pembangunan keusahawan di era digital.

“Melalui program ini selain daripada pembelajaran teori, projek ini juga menggunakan kaedah mentor-mentee atau hands-holding.

“Beberapa usahawan dari program ini telah dibawa ke luar negara seperti Indonesia dan Bangkok sebagai inspirasi kepada para usahawan wanita untuk mendapat idea-idea baharu serta mewujudkan hubungan dan rangkaian strategik.

“Terdapat empat orang usahawan creamers yang telah mencapai jualan lebih RM1 juta setahun,” katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Seminar Aspirasi dan Inspirasi Usahawan Wanita anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kemajuan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

Dalam ucapannya, James menyatakan usaha pemerkasaan wanita perlu diperkemaskan kerana wanita dilihat sebagai daya penggerak kepada pembangunan modal insan termasuk aspek ekonomi negara.

“Seminar yang diadakan sangat sesuai dalam memperkasakan dan memberi galakan kepada wanita-wanita muda menjadi usahawan berdaya saing serta mampu melakar kejayaan untuk diri sendiri dan menaikkan imej negeri.

“Memperkasa golongan wanita di Sabah daya imej utama memastikan golongan wanita sejahtera, provatif dan berpengetahuan agar sentiasa relevan dengan arus perdana serta menjadi penyumbang kepada kemajuan negeri dan negara,” ujar beliau.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kemajuan Rakyat, Maria Marcella David, Pengerusi MPWS, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman, Timbalan Pengarah JHEWA, Salbiah Aman dan Pengetua CREAM@YWE, Dr Imelda Albert Gisip. — JABATAN PENERANGAN SABAH