Peranan Mahasiswa Penting Teruskan Kepimpinan Negara Berasaskan Pemahaman MA63 – Ewon

Peranan Mahasiswa Penting Teruskan Kepimpinan Negara Berasaskan Pemahaman MA63 – Ewon

0
SHARE

MELAKA: Mahasiswa mempunyai peranan besar dalam meneruskan kepimpinan negara dan memperjuangkan hak Sabah serta Sarawak berasaskan pemahaman terhadap sejarah pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, generasi muda bakal mewarisi tanggungjawab menyelesaikan perkara berkaitan MA63 yang masih dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Belia bukan hanya pemimpin masa hadapan. Mereka ialah pemimpin hari ini yang boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai pengundi mahupun calon.

“Generasi saya dan generasi adik-adik berbeza, tetapi asasnya tetap sama, iaitu memastikan hak Sabah dipelihara agar generasi seterusnya mewarisi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Simposium Mahasiswa Borneo – Aspirasi MA63 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, kelmarin.

Simposium anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Sabah dan Sarawak (PMASS) itu turut menampilkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, Lisa Hassan Alban Sandukong sebagai ahli panel, manakala pengacara televisyen Syafiqah Ishak bertindak sebagai moderator.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga tamat pengajian untuk mengambil tahu mengenai masa depan negara kerana mereka mempunyai suara dalam menentukan wakil rakyat dan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengajak mahasiswa mendalami empat dokumen utama berkaitan pembentukan Malaysia iaitu Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Akta Malaysia 1963.

“Pada tahun 1957, yang mencapai kemerdekaan ialah Persekutuan Tanah Melayu. Malaysia dibentuk pada tahun 1963. Kita perlu memahami bagaimana negara ini dibentuk sebelum membincangkan MA63 dan masa depannya,” katanya.

Menurut Ewon, daripada 29 perkara yang dibincangkan melalui platform rundingan MA63, sebanyak 13 telah diselesaikan sepenuhnya, manakala selebihnya masih melalui pelbagai peringkat perbincangan.

Katanya, MA63 bukan sekadar berkaitan sejarah atau perundangan kerana pelaksanaannya mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan rakyat termasuk pembiayaan pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta bekalan air dan elektrik.

Beliau turut menyentuh tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu yang menurutnya penting bagi membiayai keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Jika ada yang bertanya apa makna MA63 kepada mereka, lihatlah keperluan biasiswa, jalan raya, air dan elektrik di kampung masing-masing. Semua itu memerlukan sumber kewangan dan keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Ewon yang pernah menuntut di UTeM turut memuji perkembangan PMASS daripada sebuah persatuan yang menumpukan kebajikan pelajar Sabah dan Sarawak sekitar 2002 hingga 2005 kepada penganjur simposium mengenai sejarah dan masa depan negara.

“Mahasiswa ialah sebahagian daripada kepimpinan hari ini. Bacalah, fahamilah sejarah negara dan ambil bahagian dalam menentukan perjalanan Malaysia untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr Mohammad Yusof Apdal.