Kekurangan Doktor di Sabah Hampir Tahap Kritikal, Hanya 34 Peratus Lapor Diri...

Kekurangan Doktor di Sabah Hampir Tahap Kritikal, Hanya 34 Peratus Lapor Diri – MMA

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kekurangan doktor di Sabah kini menghampiri tahap kritikal apabila banyak hospital berdepan tekanan tenaga kerja, sementara hanya kira-kira 34 peratus pegawai perubatan dari luar negeri yang dijangka ditempatkan di hospital seluruh Sabah dilaporkan telah melapor diri.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, berdasarkan maklumat penempatan hospital yang diperoleh pihaknya, seramai 138 pegawai perubatan dari luar Sabah dijangka melapor diri, namun hanya 47 orang berbuat demikian ketika maklumat itu dikumpulkan.

Beliau berkata, maklumat di peringkat fasiliti dan maklum balas doktor di hospital turut menunjukkan sebahagian besar hospital yang terjejas akibat pergerakan terkini pegawai perubatan mengalami pengurangan bersih pegawai perubatan, bukannya pertambahan.

“Dari perspektif Sabah, keadaan di lapangan amat membimbangkan.

“Jumlah besar pegawai perubatan yang tidak mengambil penempatan di Sabah baru-baru ini perlu dianggap sebagai satu amaran serius,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Brandon menjelaskan angka berkenaan hanya membabitkan penempatan di hospital dan tidak termasuk doktor yang ditugaskan ke Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan kerajaan kerana MMA Sabah tidak mempunyai angka perbandingan bagi fasiliti berkenaan.

Sehubungan itu, MMA Sabah menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerbitkan dan mengesahkan angka lengkap kadar lapor diri di seluruh Sabah supaya tahap sebenar masalah tenaga kerja kesihatan dapat dinilai.

Menurut Brandon, keadaan semakin membimbangkan apabila banyak hospital di Sabah sudah beroperasi dalam tekanan tenaga kerja yang ketara, termasuk terdapat jabatan yang memerlukan pegawai perubatan menjalankan tugas atas panggilan (on-call) selang sehari akibat kekurangan doktor.

“Keadaan ini tidak mampan. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja dengan terus meminta doktor yang masih ada untuk bekerja lebih banyak.

“Setiap doktor yang meninggalkan perkhidmatan tanpa pengganti mencukupi boleh meningkatkan beban kerja, kekerapan tugas atas panggilan dan tanggungjawab rakan sekerja yang kekal,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu berisiko mewujudkan kitaran kekurangan kakitangan, keletihan, burnout dan kehilangan lebih ramai tenaga kerja, manakala pesakit akhirnya berdepan tempoh menunggu lebih panjang, kelewatan rawatan serta pengurangan keupayaan untuk mengekalkan perkhidmatan secara selamat.

Dalam pada itu, MMA Sabah menyokong gesaan Presiden MMA, Dr Sivanaesan Letchumanan supaya langkah segera diambil bagi memperkukuh insentif, memperbaiki keadaan kerja dan kehidupan serta menangani kesukaran menarik dan mengekalkan doktor di Sabah dan Sarawak.

Antara langkah dicadangkan ialah mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan, memperkukuh insentif bagi perkhidmatan di Sabah dan Sarawak, menambah baik bantuan perpindahan serta memberikan kepastian mengenai tempoh penempatan di Malaysia Timur.

MMA turut mahu kemudahan penginapan dan infrastruktur asas ditambah baik, selain perkhidmatan di kawasan kurang mendapat liputan kesihatan diberikan pengiktirafan menerusi peluang kerjaya serta pengajian pascasiswazah.

Brandon berkata pembaharuan berkenaan perlu diberikan pertimbangan serius oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya menjelang Belanjawan 2027.

Bagaimanapun, katanya, menangani kekurangan doktor di Sabah tidak boleh menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan semata-mata.

Menurutnya, walaupun pengambilan, pelantikan dan penempatan pegawai perubatan terutamanya berada di bawah KKM, Kerajaan Negeri Sabah boleh memainkan peranan penting dalam menjadikan negeri ini lebih menarik untuk doktor berkhidmat dan terus kekal.

MMA Sabah mencadangkan lima bidang tindakan, termasuk menjadikan penginapan kakitangan sebagai keutamaan infrastruktur kesihatan dan mempertimbangkan insentif tambahan khusus Sabah seperti bantuan penginapan, pengangkutan serta insentif bersasar bagi kawasan yang sukar mendapatkan tenaga kerja.

Kerajaan Negeri turut digesa membantu meningkatkan infrastruktur asas di sekitar fasiliti kesihatan luar bandar termasuk bekalan air dan elektrik, jalan raya, capaian internet serta pengangkutan yang selamat.

Selain itu, MMA Sabah mencadangkan usaha jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan rakyat Sabah menerusi biasiswa, bantuan kewangan dan sokongan latihan kepakaran, di samping menggalakkan mereka kembali berkhidmat di negeri ini.

MMA Sabah turut mencadangkan platform kerjasama berstruktur antara Kerajaan Negeri, KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pihak berkepentingan bagi memantau kekurangan tenaga kerja serta mengenal pasti fasiliti yang menghadapi risiko paling tinggi.

“Pelantikan tetap adalah penting, tetapi keadaan semasa menunjukkan bahawa status tetap sahaja tidak mencukupi.

“Jawatan tetap yang tidak diterima oleh mana-mana doktor tidak akan merawat pesakit. Perjawatan yang hanya wujud di atas kertas tidak akan mengendalikan sesebuah hospital.

“Sabah memerlukan doktor yang benar-benar berada di lapangan — mendapat sokongan mencukupi, bekerja dalam keadaan selamat dan munasabah, diberikan peluang untuk berkembang secara profesional dan, yang penting, diberikan sebab untuk terus kekal di Sabah,” katanya.

Brandon berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu bertindak bersama sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Tanda-tanda amaran sudah berada di hadapan kita. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga perkhidmatan kesihatan gagal sebelum menyedari betapa seriusnya masalah ini.

“Kekurangan doktor di Sabah kini menghampiri tahap kritikal. Tindakan mesti diambil sebelum keadaan kritikal itu bertukar menjadi kegagalan sistem,” katanya.