Sabah-Kanada Teroka Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan

Sabah-Kanada Teroka Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah dan Kanada berpotensi memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, termasuk menerusi penerokaan peluang dalam sektor Ekonomi Biru, akuakultur serta pembangunan perindustrian di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai pelbagai potensi yang boleh diterokai bersama pelabur dan rakan strategik dari Kanada.

Perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, TYT Jodi Robinson, di Menara Kinabalu, di sini pada Rabu.

Hajiji mengalu-alukan kunjungan berkenaan dan berharap hubungan baik antara Sabah dengan Kanada dapat terus diperkukuh, khususnya melalui penerokaan peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri turut memaklumkan mengenai fokus Sabah dalam sektor Ekonomi Biru (Blue Economy), termasuk potensi sektor akuakultur yang mempunyai ruang untuk diterokai bersama pelabur dan rakan strategik dari Kanada.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah mempunyai pelbagai taman perindustrian yang bersedia menerima pelaburan asing, termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kawasan Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Kudat Blue Economy Industrial Park dan Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).

Hajiji berharap kunjungan itu dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama dan peluang pelaburan Kanada di Sabah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri.

Kanada sebelum ini menyatakan hasrat untuk memperluas hubungan dua hala dan perdagangan dengan Malaysia dalam beberapa sektor termasuk pertanian, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pertukaran pendidikan.