TAWAU: Dua rumah, sebuah rumah sewa 21 pintu dan empat lot kedai musnah 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada terus merebak dan menyelamatkan 210 rumah berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.03 pagi.
Katanya, seramai 18 anggota BBP Tawau bersama 12 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Titingan dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 5.09 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah jenis separuh kekal serta sebuah rumah sewa 21 pintu yang turut dibina daripada struktur separuh kekal.
“Kesemua rumah terbabit musnah 100 peratus dalam kebakaran berkenaan.
“Turut terbakar 100 peratus ialah empat lot kedai jenis separuh kekal, masing-masing dua lot berkeluasan 20 kali 20 kaki dan dua lagi berkeluasan 10 kali 15 kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jemishin berkata, operasi pemadaman dilakukan dengan membentangkan dua aliran sepanjang 400 dan 300 kaki dengan keseluruhan empat pancutan menggunakan sumber air daripada jentera serta pili bomba berhampiran.
Katanya, Bomba Komuniti Titingan turut membantu operasi dengan membentangkan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan menggunakan bekalan air terus daripada pili bomba.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan 210 rumah berhampiran daripada terbakar dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.59 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.26 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity (SE).






