Gereja Bukan Sekadar Institusi Keagamaan, Turut Jadi Jambatan Perpaduan – Ewon

Gereja Bukan Sekadar Institusi Keagamaan, Turut Jadi Jambatan Perpaduan – Ewon

0
SHARE

KOTA KINABALU: Institusi gereja bukan sahaja berperanan membina kehidupan rohani umat Kristian, malah menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat serta menyumbang kepada keamanan, keharmonian dan pembangunan negara.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, sumbangan gereja khususnya di Sabah telah lama melangkaui aspek keagamaan dengan penglibatan dalam bidang pendidikan, kebajikan, pembangunan belia, pengukuhan institusi keluarga serta membantu golongan yang memerlukan.

“Sejak sekian lama, gereja-gereja di Sabah telah menyumbang dalam bidang pendidikan, kebajikan, pembangunan belia, pengukuhan institusi keluarga dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Semua ini merupakan sumbangan yang amat bermakna kepada pembangunan masyarakat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malaysia Day of Prayer (MDOP) 2026 – Ecumenical Prayer Service di All Saints’ Cathedral, di sini, sempena sambutan Hari Malaysia.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah hadir mewakili Kerajaan Negeri pada upacara anjuran bersama Council of Churches of Malaysia (CCM) dan Sabah Council of Churches (SCC) itu.

Menurutnya, penganjuran upacara berkenaan pada 16 September amat bermakna kerana Hari Malaysia mengingatkan rakyat mengenai perjalanan pembentukan negara serta kedudukan penting Sabah dalam penubuhan Persekutuan Malaysia.

Amat bermakna apabila pada hari ini, gereja-gereja daripada pelbagai denominasi dan tradisi berkumpul dalam satu perhimpunan untuk berdoa bagi negara, para pemimpin, masyarakat dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Ewon berkata, Sabah mempunyai keistimewaan tersendiri dengan masyarakatnya terdiri daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama, manakala kepelbagaian itu merupakan antara kekuatan utama negeri ini.

Justeru katanya, keharmonian, sikap saling menghormati dan semangat memahami antara satu sama lain perlu terus dipelihara.

“Semoga rakyat pelbagai kaum, agama, bahasa dan sistem adat di negara ini terus bersama-sama, bersatu serta hidup harmoni dalam membina Malaysia yang lebih baik.

“Biarlah Sabah terus dikenali sebagai sebuah negeri di mana kepelbagaian tidak memisahkan kita, sebaliknya memperkayakan kita dan keharmonian menjadi kekuatan bersama,” katanya.

Beliau berkata, tema MDOP 2026, “That We May Be One – One in Christ, Proclaiming Hope, Serving Communities” atau “Supaya Kita Menjadi Satu – Satu dalam Kristus, Memberitakan Pengharapan, Melayani Masyarakat”, amat relevan dengan kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, kesatuan tidak bermaksud semua pihak perlu menjadi sama, sebaliknya masyarakat boleh memilih untuk saling menghormati, memahami dan bekerjasama demi kebaikan bersama meskipun mempunyai perbezaan.

“Saya percaya gereja-gereja di Sabah boleh terus menjadi contoh bagaimana kesatuan dapat diterjemahkan melalui hubungan yang baik dan pelayanan kepada masyarakat,” katanya.

Ewon turut menggalakkan gereja-gereja di Sabah supaya terus menjadi suara pengharapan dan saluran berkat kepada masyarakat, khususnya dengan membantu golongan yang memerlukan, memperkukuhkan institusi keluarga serta membimbing generasi muda.

Beliau turut menyeru institusi gereja supaya terus membina jambatan persahabatan dan keharmonian serta bekerjasama dengan pelbagai pihak demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Semoga Malaysia Day of Prayer 2026 terus memperkukuhkan hubungan antara gereja-gereja dan mendorong kita semua untuk terus melayani negara serta masyarakat dengan iman, pengharapan dan kasih,” katanya.

Malaysia Day of Prayer dimulakan oleh CCM pada 2013 sebagai wadah untuk pemimpin gereja di seluruh negara bersama-sama mendoakan Malaysia sempena sambutan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September setiap tahun.