TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tawau tidak boleh ditutup dan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperjelas cadangan rasionalisasi operasi kampus berkenaan.
Beliau berkata, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan memberi jaminan kampus itu tidak akan ditutup, cadangan menjadikannya hab pendidikan melibatkan institusi lain masih menimbulkan persoalan mengenai masa depan UiTM Tawau.
Menurutnya, pengekalan kampus bukan sekadar memastikan bangunan terus digunakan, sebaliknya perlu menjamin identiti institusi, fungsi akademik dan peluang pengajian tinggi kepada masyarakat Pantai Timur Sabah.
“Sebagai pemimpin yang berasal dari Tawau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, saya ingin menegaskan pendirian bahawa UiTM Tawau mesti dikekalkan sebagai sebuah kampus UiTM yang berfungsi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Nizam berkata, sejak beroperasi pada 1996, UiTM Tawau menjadi laluan penting pendidikan tinggi kepada anak-anak Bumiputera dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan sekitarnya.
Katanya, kewujudan kampus itu membantu mengurangkan beban kos perjalanan, penginapan dan sara hidup pelajar, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.
Mengulas jumlah 254 pelajar setakat 30 September lalu seperti dinyatakan Zambry di Dewan Rakyat, beliau menegaskan angka itu tidak boleh dijadikan ukuran tunggal dalam menilai keperluan sesebuah kampus.
Sebaliknya, penilaian perlu mengambil kira kapasiti sebenar bilik kuliah, kemudahan akademik serta keupayaan pengajaran dan pembelajaran, bukan hanya kemudahan penginapan pelajar.
Sehubungan itu, Nizam menggesa KPT menjelaskan asas penilaian rasionalisasi berkenaan serta memberikan jaminan bahawa UiTM Tawau tidak akan kehilangan identiti dan fungsi akademiknya.
Beliau turut mencadangkan supaya program pengajian diperluas mengikut keperluan industri tempatan, manakala sebarang institusi pendidikan baharu perlu menjadi pelengkap dan bukannya menggantikan UiTM Tawau.
Nizam berharap pandangan Kerajaan Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni dan masyarakat setempat diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Pendirian saya jelas. UiTM Tawau mesti dikekalkan, diperkukuh dan terus diberikan peranan yang bermakna dalam pembangunan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah,” katanya.






