500 Pelajar SMK Mat Salleh Diiktiraf Atas Kecemerlangan Kokurikulum

500 Pelajar SMK Mat Salleh Diiktiraf Atas Kecemerlangan Kokurikulum

0
SHARE

RANAU: Seramai 500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menerima pengiktirafan atas pencapaian dan penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

Pengiktirafan itu diberikan kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima menerusi Majlis Anugerah Kokurikulum SMK Mat Salleh di Dewan Perdana sekolah berkenaan, pada Khamis.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, aktiviti kokurikulum penting dalam membentuk pelajar yang berdisiplin, berkeyakinan dan memiliki ciri kepimpinan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, pendidikan bukan sekadar menekankan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah dan pembangunan potensi diri.

“Kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam pelajaran, tetapi juga mempunyai jati diri, berakhlak mulia, berani menghadapi cabaran dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Masidi turut mengingatkan pelajar bahawa kejayaan memerlukan usaha, pengorbanan dan disiplin berterusan, selain menggalakkan mereka berani mencuba perkara baharu.

“Masa depan negeri dan negara turut bergantung kepada kualiti generasi muda yang dibentuk pada hari ini,” katanya.

Beliau turut menghargai komitmen guru penasihat dan jurulatih kokurikulum dalam membimbing pelajar serta mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah.