TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau mengingatkan komuniti maritim setempat supaya meningkatkan aspek keselamatan di laut serta berwaspada terhadap sebarang perubahan cuaca yang tidak menentu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, ini berikutan METMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bermula 24 September di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk sekitar kawasan pedalaman dan Pantai Barat Sabah.
Ujar beliau lagi, cuaca ini dijangka akan berlanjutan sehingga awal November mengikut ramalan yang diperolehi daripada laman sesawang METMalaysia.
Beliau turut menjelaskan cuaca sebegini boleh mendatangkan bahaya kepada aktiviti komuniti maritim seperti perahu-perahu kecil, pengusaha bot penumpang serta pengusaha sektor perikanan dalam negeri.
Justeru katanya, aspek keselamatan di laut perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
“Komuniti maritim boleh terus berhubung dengan Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau menghubungi talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam bagi melaporkan sebarang insiden dan kecemasan di laut.
“Aset-aset ronda Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap sedia diatur gerak pada bila-bila masa untuk memberikan bantuan bagi sebarang situasi atau kejadian insiden di laut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.