PUTRAJAYA – Sebanyak 22 universiti di negara ini menunjukkan peningkatan kedudukan berbanding tahun lepas dalam Penarafan Ranking Universiti Quacquarelli-Symonds (QS): Asia (QS-AUR) 2022, manakala empat (4) universiti kekal di kedudukan sama dan 10 universiti lagi mencatat penurunan.
Di antara universiti tempatan yang mencatat peningkatan kedudukan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), demikian menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan semalam.
“Empat universiti yang mengekalkan kedudukan adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” menurut kenyataan itu.
Menurut KPT, penarafan QS-AUR 2022 turut menunjukkan peningkatan penyertaan universiti tempatan sebanyak 36 universiti berbanding 35 universiti pada tahun sebelumnya.
UM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, universiti yang pertama ditubuhkan di negara ini menduduki tempat kelapan dalam QS-AUR 2022, naik satu kedudukan berbanding tahun lepas.
Kejayaan tersebut menyaksikan UM memperbaiki kedudukannya berbanding tahun lepas selepas buat pertama kalinya berjaya menjadi antara 10 universiti Asia terbaik sejak penganugerahan QS-AUR pada 2009.