Tun Juhar Terima Kunjungan Peguam Besar Negeri Sabah Baharu

Tun Juhar Terima Kunjungan Peguam Besar Negeri Sabah Baharu

0
SHARE
Juhar
Brenndon (kiri) bersama Tun Juhar ketika sesi kunjungan sedang berlangsung ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan hormat Peguam Besar Negeri Sabah yang baharu, Datuk Brenndon Keith Soh di Istana Seri Kinabalu.

Menurut Brenndon, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Juhar berkenaan pelantikannya sebagai Peguam Besar Negeri Sabah menggantikan Datuk Nor Asiah Mohd Yusof yang menyandang jawatan Brenndon sebelum ini sebagai Penasihat Undang-Undang kepada Ketua Menteri berkuatkuasa pada 2 Julai lepas.

“Selain memperkenalkan diri, kami juga menerangkan objektif utama Jabatan Peguam Negeri Sabah, memberikan sedikit nasihat berkenaan beberapa isu antaranya berkaitan pindaan perundangan dan MA63 serta beberapa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Kami juga akan memberikan khidmat nasihat kepada Tun Juhar dari masa ke masa bagi isu berkaitan dengan perlembagaan dan undang-undang lain.

“Visi kami adalah untuk menjadi pusat kecemerlangan yang mana sebagai badan yang memberi nasihat berkaitan perundangan kepada kerajaan, kami perlu memiliki standard yang tinggi terutamanya dalam integriti dan profesionalisme.

“Apa saja yang kami lakukan, adalah penting untuk kami memberikan nasihat yang terbaik agar kerajaan dapat membuat keputusan yang tepat lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan undang-undang,” ujarnya ketika ditemui media selepas kunjungan berkenaan, pada Selasa.

Menurut Brenndon, peranan Jabatan Peguam Negeri Sabah kini menjadi semakin signifikan dan pihaknya akan berusaha memberikan yang terbaik demi kepentingan negeri serta rakyat Sabah.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Peguam Besar Negeri, Dayangku Fazidah Hatun Pg Bagul dan Suzumaidah Hussain serta Ketua Bahagian Litigasi, Mohd Saifurrazee Mohamed @ Hussin. — JABATAN PENERANGAN SABAH