KINBATANGAN, SABAH – Rumah enam sekeluarga yang diliputi tumbuhan menjalar di sebuah kampung berhampiran Batu 8, Jalan Bukit Garam sini, dibersihkan secara sukarela oleh anggota pasukan Bomba daerah.
Pemantauan paras air pada Sungai Kinabatangan kira-kira jam 2 petang tadi berikutan keadaan hujan lebat hampir setiap hari membawa kepada bantuan kemasyarakatan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, PPgB Azlan Shah Jamalludin berkata, pasukan petugas terserempak rumah terbabit yang mana seluruh bumbung dan bahagian dapur ditutupi tumbuhan.
“Keluarga tersebut tidak dapat berbuat apa-apa untuk membersihkan rumah atas sebab tumbuhan menjalar melalui pokok berhampiran terus ke atas rumah…
“Tumbuhan menjalar terlalu tinggi menyebabkan kesukaran dalam kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Menurut Azlan penghuni rumah yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan empat orang anak kalangan umur remaja mendakwa sering menerima tetamu tidak diundang seperti ular, kala jengking, lipan dan lain-lain lagi di bahagian terjejas.
“Atas sebab itu, Pasukan Bomba Kinabatangan menawarkan bantuan untuk membersihkan rumah tersebut.
“Alhamdulillah, dengan terlaksananya gerak kerja, rumah penduduk berkenaan telah berjaya dibersihkan daripada tumbuhan menjalar tersebut,” katanya sambil menambah operasi tamat sekitar pukul 5 petang.
Ketika dihubungi, beliau berkata pihaknya telah memberikan cadangkan kepada pemilik rumah berkenaan untuk membuat gotong royong bersama keluarga dan penduduk kampung yang lain agar dapat memupuk semangat kejiranan yang tinggi.
“Tugas kami (Pasukan Bomba) hanya untuk membantu masyarakat setempat,” ujarnya.