KOTA KINABALU, SABAH – Pembukaan semula sempadan negara merupakan satu berita gembira buat pengusaha industri pelancongan serta seluruh rantaiannya kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Katanya, langkah itu sudah tentu akan merancakkan semula sektor pelancongan negara setelah dua tahun dunia dilanda pandemik COVID-19.
Jafry dalam satu kenyataan hari ini turut menyarankan semua pengusaha industri pelancongan agar melakukan persediaan awal bagi menerima pelancong dari luar negara diikuti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kementerian bersama semua agensi terlibat juga akan terus mempergiat promosi dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Sabah di peringkat antarabangsa…
“KePKAS akan terus memberi kerjasama dan menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam menjayakan pembukaan semula sempadan mulai 1 April depan,” katanya.
Beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berhubung dengan situasi negara yang akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April nanti.