KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tun Fuad Stephens berhampiran Mahkamah Syariah, di sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi apabila motosikal mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang tepi kanan sebuah kereta yang dipandu lelaki berumur lingkungan 30-an.
“Siasatan awal mendapati kereta tersebut datang dari arah Jalan UMS menuju ke arah SK Likas sebelum kemalangan berlaku.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.