
KUALA LUMPUR – Pihak Polis telah memanggil seramai lima orang untuk keterangan bagi membantu siasatan kes gaduh membabitkan seorang ‘rider’ Lalamove berasal dari Sabah yang dipukul di hadapan sebuah premis perniagaan di Persiaran Tun Razak baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya telah menerima laporan berkenaan video insiden yang tular menggunakan pemilik akaun Facebook, Azhar Juny, pada 2.34 petang semalam (Jumaat).
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 3.20 petang pada Khamis di antara seorang penghantar barang dengan seorang individu yang berpunca daripada salah faham.
“Siasatan sedang dilengkapkan dan seterusnya akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
“Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” tambahnya.
Dalam pada itu, majoriti rakyat Sabah telah menzahirkan perasaan mereka kepada penyerang tersebut selepas mendengar ‘rider’ berkenaan merayu-rayu sambil mengakui berasal dari Sabah, tetapi malangnya penyerang itu menjawab “Sabah berasal dari luar”.
Memetik kenyataan netizen, “Sabah dan Sarawak telah dipelawa bersama untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963, agak menyedihkan kerana masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak peka bahawa Sabah sebenarnya adalah sebahagian dari Malaysia”.
“Sabah dan Sarawak memiliki sumber minyak dan gas di mana sumber berkenaan adalah antara yang terbesar di Asia, tetapi malangnya hampir kesemua hasil tersebut telah dihantar ke Semenanjung Malaysia,” dakwa netizen dari Sabah dalam nada marah.