KOTA KINABALU: Kepimpinan baharu UMNO Sabah mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan rasmi dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai usaha memperkukuh hubungan kerja serta kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah.
Kunjungan pada Khamis itu diketuai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu, Datuk Jafry Ariffin, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Hasnol Ayub selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Setiausaha UMNO Negeri Sabah Samasuddin Yusop, serta Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Pertemuan petang itu merupakan kunjungan hormat rasmi pertama kepimpinan baharu UMNO Sabah kepada Ketua Menteri, selaras dengan kedudukan UMNO sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah.
Perbincangan tertumpu kepada hala tuju politik negeri, kepentingan mengekalkan kestabilan politik, serta keperluan memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berfungsi dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
Datuk Jafry Ariffin dalam kenyataannya menegaskan bahawa UMNO Sabah melihat kestabilan politik sebagai asas utama kepada pembangunan negeri, keyakinan pelabur dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, pendekatan politik yang matang, berdisiplin dan berteraskan kerjasama perlu diberi keutamaan dalam landskap politik Sabah ketika ini.
“Dalam sistem politik berbilang parti seperti di Sabah, kestabilan hanya dapat dicapai melalui sikap saling menghormati, komunikasi terbuka dan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan negeri.
“UMNO Sabah komited untuk memainkan peranan yang bertanggungjawab dan konstruktif dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan politik perlu diurus secara berhemah dan berinstitusi, tanpa menjejaskan keutamaan utama iaitu tadbir urus yang baik, pembangunan berterusan dan kebajikan rakyat Sabah.
“UMNO Sabah akan terus menyumbang secara aktif dan berprinsip dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah, dengan memastikan suara rakyat kekal menjadi asas kepada setiap keputusan dan hala tuju politik yang diambil,” tambahnya.






