KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan penahanan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 22 tahun berhubung kes kecurian yang berlaku pada Jumaat lalu (12 Dis) kira-kira jam 2.05 petang, di Telipok.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian itu melibatkan seorang wanita tempatan berusia 56 tahun yang kehilangan sebuah beg silang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, sebuah telefon bimbit, wang tunai serta kunci kenderaan, dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan yang digunakan suspek merupakan sebuah kereta sewa yang dilengkapi sistem pengesanan GPS.
“Maklumat ini telah disalurkan kepada pihak polis dan pada hari yang sama, kira-kira jam 4.20 petang, anggota Rondaan Cegah Jenayah berjaya mengesan kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, usaha menahan suspek membawa kepada kejadian kejar-mengejar sebelum kenderaan suspek terbabas dan kedua-dua mereka berjaya ditahan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan semula barangan milik mangsa, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes-kes lain.
Permohonan reman akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain rakaman percakapan saksi-saksi dan tindakan siasatan susulan.
Kasim turut mengesahkan video tangkapan yang tular di media sosial adalah rakaman sebenar hasil tindakan pantas anggota polis semasa menjalankan tugas.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan harta benda serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu pencegahan dan penyelesaian kes jenayah,” katanya.






