Tindakan Pantas Maritim Malaysia Selamatkan Dua Nelayan Bot Terbalik

Tindakan Pantas Maritim Malaysia Selamatkan Dua Nelayan Bot Terbalik

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Berpantang maut sebelum ajal, dua nelayan yang dipukul ombak dan karam berjaya diselamatkan sejurus terdengar suara meminta pertolongan oleh Pegawai Bertugas Harian semasa membuat rondaan di Jeti Zon Maritim Sandakan, semalam.

Pemeriksaan disekitar jeti pada pukul 10.50 malam menggunakan “Search Light” telah mengesan lokasi mangsa yang berada di perairan selatan Pulau Berhala, tidak jauh dari Jeti Maritim Sandakan.

Bot Kilat 34 yang ditugaskan ke lokasi kejadian bagi tugasan CARILAMAT telah berjaya menyelamatkan dua lelaki dewasa namun bot yang dinaiki mangsa tidak dapat diselamatkan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Roslee Awang, 43 dan rakannya Fadzier Salleh, 36, kedua-dua warga tempatan, didapati tidak memakai jaket keselamatan.

“Keadaan ombak yang besar dan arus yang kuat menyebabkan bot mereka terbalik lalu tenggelam,” jelasnya dalam sebuah kenyataan.

Beliau menasihati para komuniti nelayan agar tidak leka dan mengambil pengajaran agar patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Khususnya ketika cuaca yang tidak menentu serta ancaman angin kuat Monsun Timur Laut,” tegasnya.