KUALA LUMPUR – Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ negara akan ditangguhkan sementara waktu bagi memberi ruang kepada Kerajaan untuk memperhalusi semula langkah bagi tujuan berkenaan sehingga mendapat maklumat lanjut berhubung varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun belum ada kes membabitkan varian Omicron di Malaysia, tindakan berhati-hati perlu dilaksanakan berikutan varian itu dilaporkan sangat pantas dan mudah berjangkit.
“Sebelum ini, kita memutuskan kemungkinan mengumumkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ namun dihentikan seketika untuk melihat perkembangan varian Omicron yang menular ke seluruh dunia…
“Kita bimbang semua yang dirancang dan yang diumumkan dalam masa terdekat seperti kelonggaran, prosedur operasi standard (SOP) dan tujuh asas menuju fasa endemik mungkin terjejas jika kita tidak memantau varian ini secara dekat dan menanganinya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Parlimen, hari ini.