Juara Bertahan JDT Tewas, KL City Juara Piala Malaysia Edisi Ke-100

Juara Bertahan JDT Tewas, KL City Juara Piala Malaysia Edisi Ke-100

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City (KL City) FC cipta sejarah dengan merangkul Piala Malaysia edisi ke-100 tahun selepas menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan itu menamatkan kemarau 32 tahun untuk memenangi piala keagungan itu yang mana merupakan gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.

Pada aksi malam semalam, pengendali KL City, Bojan Hodak yang mengekalkan ramuan sama ketika menyingkirkan Melaka United di pentas separuh akhir dengan jentera serangan diketuai oleh Romel Morales.

Manakala, skuad kendalian Benjamin Mora itu membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan trio serangan berbisa, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Bergson Da Silva.

Hanya dalam 10 minit pertama, Bergson Da Silva yang merupakan pemain dari Brazil itu berpeluang membuka jaringan namun gerakannya ditutup Giancarlo Gallifuoco pada minit ketiga sebelum rembatannya dinafikan palang gol pada minit kelapan.

Ketangkasan Kevin Mendoza pada babak pertama pasti mengecewakan JDT selepas penjaga gol dari Filipina itu cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada JDT.

Bersambung babak kedua, KL City tidak lagi membenarkan JDT menguasai bola apabila perlawanan kembali seimbang dan mereka berhasil merencana beberapa gerakan menerusi bahagian sayap.

Ketabahan KL City yang lebih banyak menyerap asakan akhirnya terbalas apabila hantaran lintang J Partiban disudahkan dengan penuh ketenangan oleh Zhafri Yahya pada minit ke-65 untuk gol pembukaan buat KL City.

Pemain KL City, Zhafri Yahya (kanan) meraikan gol pertama jaringannya bersama rakan sepasukan Akram Mahinan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur…(Sumber Foto: NSTP)

Impian barisan pemain Harimau Selatan untuk kembali dari permainan ranap apabila Farizal Marlias sekali lagi tertewas pada minit ke-74, kali ini menerusi jaringan voli kapten KL City FC, Paulo Josue.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan KL City memahat sejarah menjulang trofi Piala Malaysia musim ini di hadapan hampir 20,000 penyokong yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil.