SJA, Maggi Edar 600 Pek Bubur Lambuk Sempena Ramadan di Bandaran

SJA, Maggi Edar 600 Pek Bubur Lambuk Sempena Ramadan di Bandaran

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dengan kerjasama Maggi telah mengagihkan sebanyak 600 pek bubur lambuk di sini pada Sabtu bersempena bulan Ramadan.

Sebanyak 400 pek bubur lambuk diedarkan di Bandaran Berjaya kira-kira jam 2 petang kepada pengusaha pengangkutan awam dan orang ramai, manakala 200 pek lagi diagihkan kepada ahli SJA sempena program Hari Keluarga dan majlis berbuka puasa persatuan itu pada sebelah petang.

Bubur lambuk berkenaan disediakan menggunakan bahan-bahan tajaan Maggi.

Hadir pada program di Bandaran Berjaya ialah Presiden SJA, Mariah Doksil; Pengurus Operasi Nestlé Products Sdn Bhd, Wallace Tan; Pengerusi Penganjur, Vivi Olviana Najurus; kakitangan Maggi serta ahli jawatankuasa SJA.

Mariah berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha persatuan untuk memupuk hubungan baik dan mengeratkan silaturahim dengan masyarakat sambil menghayati semangat Ramadan.

“Ramadan adalah bulan penuh kasih sayang, perkongsian dan keprihatinan antara satu sama lain. Ia adalah masa yang bermakna untuk kita menghulurkan bantuan, khususnya kepada mereka yang bekerja keras sepanjang bulan puasa seperti pengusaha pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Maggi mencerminkan kepentingan jalinan antara warga media dan organisasi korporat dalam menjayakan inisiatif berasaskan komuniti.

Mariah turut merakamkan penghargaan kepada Maggi dan Nestlé atas sokongan yang diberikan sehingga program itu berjaya dilaksanakan, sambil menyifatkan inisiatif seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan ahli SJA.

Sementara itu, Wallace berkata, Maggi berbesar hati dapat menyokong program kemasyarakatan yang bermakna sepanjang Ramadan dan menegaskan komitmen syarikat untuk terus menyumbang kepada masyarakat menerusi pelbagai program jangkauan komuniti.

Program pengagihan di Bandaran Berjaya menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang menghargai sumbangan berkenaan menjelang waktu berbuka puasa.