SANDAKAN: Seorang Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, pada Khamis atas 14 pertuduhan menggunakan dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu membabitkan pembekalan barangan dan perkhidmatan antara 2023 hingga 2024.
Tertuduh, Nur Izzati Mohd Rudzuan, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa dengan sedar menggunakan beberapa invois mengandungi butiran dan pernyataan palsu bagi pembekalan barangan serta perkhidmatan yang sebenarnya tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Antara tuntutan terbabit ialah pembekalan hadiah dan cenderahati, hamper, perkhidmatan sistem siar raya (PA), makanan dan minuman, makanan sejuk beku serta pelbagai produk makanan laut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan antara Ogos hingga September 2023 serta April hingga Mei 2024.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 bagi kesemua pertuduhan serta seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di mana-mana pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Selain itu, tertuduh tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran mahkamah.
Mahkamah menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes dan pengurusan praperbicaraan, manakala perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 5 Februari 2027.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon daripada Tetuan Lincon & Co.






