Petani Di Afghanistan Terus Tanam Ganja Secara Besar-Besaran

Petani Di Afghanistan Terus Tanam Ganja Secara Besar-Besaran

0
SHARE

KANDAHAR, AFGHANISTAN – Petani di Afghanistan meneruskan menanam ganja secara besar-besaran meskipun pihak berkuasa baharu Taliban merancang untuk membanteras perdagangan dadah yang sebahagian besarnya mencetuskan kejayaan pemberontakan mereka.

Setakat ini, tiada apa berubah untuk petani ganja seperti Ghulam Ali yang mana tanamannya kini telah merentasi tiga hektar di luar Kandahar.

Ladang tumbuhan hijau gelap yang boleh dikenali kerana berbau busuk itu terletak di jalan utama melalui daerah Panjwai.

“Kami mendapat manfaat daripadanya lebih daripada mana-mana tanaman atau buah-buahan lain. Saya mempunyai pilihan untuk tanaman lain, tetapi popi memerlukan lebih banyak pelaburan, lebih banyak bahan kimia bagi melindunginya daripada penyakit,” kata Ali kepada AFP.

Di bawah kerajaan terdahulu disokong Amerika Syarikat (AS) dan digulingkan Taliban pada Ogos lalu, petani hashish membayar levi kepada pegawai tempatan sebanyak 3,000 rupee Pakistan (RM70.40) sekilogram (kg).

“Ia bukan sesuatu yang rasmi, hanya cukai yang perlu kami bayar. Jika tidak, mereka boleh memusnahkan ladang kami,” kata Ali.

Keluarga Ali menukarkan ladang jagung kepada ganja pada tahun 2000, sejurus sebelum berakhirnya rejim Taliban sebelum ini, dan tiada sebab untuk menyesalinya.

Seorang budak lelaki bekerja di ladang ganja di pinggir bandar Kandahar…(Sumber Foto: AFP)

Kira-kira 20 saudaranya tinggal di ladang miliknya. Mereka tidak kaya, tetapi menjalani kehidupan selesa dan anak pergi ke sekolah berdasarkan piawaian luar bandar Afghanistan.

Ketika waktu sibuk, mereka mengupah pekerja luar membantu membawa hasil tuaian.

Bulan depan, tumbuhan akan diasingkan, ditekan dan dipanaskan bagi penghasilan minyak, yang kemudiannya diubah menjadi pes hashish hitam-hijau untuk dijual dan dieksport dengan ia dijual kepada pengedar pada harga antara 10,000 dan 12,000 rupee (RM248.46) sekilogram .