FDA AS Luluskan Penggunaan Vaksin Pfizer Untuk Kanak-Kanak Berusia 5 Hingga 11...

FDA AS Luluskan Penggunaan Vaksin Pfizer Untuk Kanak-Kanak Berusia 5 Hingga 11 Tahun

0
SHARE

AMERIKA SYARIKAT – Badan Kawal Selia Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Perkara ini bakal menyaksikan kali pertama golongan usia itu menerima vaksin.

Keputusan itu turut memperlihatkan sekitar 28 juta kanak-kanak di negara itu, yang sebahagian besarnya sudah kembali ke sekolah, akan menerima suntikan vaksin berkenaan.

Kelulusan ini diberikan selepas pakar penasihat FDA AS sebulat suara menyarankan penggunaan vaksin Pfizer.

FDA AS meluluskan penggunaan dos 10 mikrogram bagi kanak-kanak, berbanding 30 mikrogram bagi kumpulan umur 12 tahun dan ke atas.

Sebelum ini, Pfizer-BioNTech mendakwa kajian klinikal bagi usia 5 ke 11 tahun menunjukkan vaksin keluarannya mempunyai keberkesanan 90.7 peratus (90.7%) terhadap virus COVID-19.

Sebelum Amerika Syarikat, China, Cuba dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut meluluskan penggunaan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak.

Sementara itu, panel Pusat Kawalan dah Pencegahan Penyakit (CDC) dijangka mengadakan pertemuan minggu depan, bagi mempertimbangkan saranan penggunaan vaksin Pfizer bagi kumpulan umur 5 ke 11 tahun.

Amerika Syarikat mula memberikan vaksin kepada kumpulan usia 12 ke 17 tahun Mei lalu.

Vaksin keluaran Pfizer adalah yang pertama diluluskan untuk kegunaan kecemasan bagi kumpulan umur 16 tahun dan ke atas.

Sementara bagi kelulusan kumpulan umur 12 ke 15 diberikan Mei lalu.