KOTA KINABALU, SABAH – Kes baharu menjunam 80 kes dari sebelumnya yang membawa kepada 178 KES baharu positif COVID-19 kelmarin (Selasa).
Namun, Jurucakap COVID-19 negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan terdapat kewujudan SATU (1) kluster baharu di Menggatal.
‘Kluster Muhibbah’ turut menular ke daerah Tuaran dan Penampang berpunca dari jangkitan dalam komuniti di Mukim Darat Kota Kinabalu.
“Kes indeks merupakan seorang pemandu lelaki, 49, di salah sebuah badan berkanun di pusat bandaraya yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Menggatal pada 20 Jun…
“Aktiviti pengesanan kontak serta saringan secara bersasar di lokaliti terbabit yang dijalankan Pasukan Kawalan Jabatan Kesihatan kemudiannya mendapati 40 lagi kes positif termasuk enam (6) kes baharu pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 41 kes,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan berkemungkinan merebak dalam komuniti kampung berkenaan. Sementara itu, saringan bersasar dan siasatan lanjut masih giat dijalankan.
Merujuk kepada Kenyataan Media Kerajaan Negeri Sabah bertarikh 28 Jun, berkaitan dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) – Fasa 1 bagi Negeri Sabah, Kerajaan Negeri telah mengemukakan SOP baharu bagi Sabah kepada Kerajaan Pusat dan masih menunggu perwartaan SOP tersebut.
Kata Masidi, Perakuan SOP ini telah diputus sebulat suara oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Antara anggota Jawatankuasa ini ialah Ketua-ketua Jabatan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, PDRM dan Majlis Keselamatan Negeri Sabah (MKNS) yang juga telah menyemak perakuan ini…
“Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan akhbar yang berasingan mengenai SOP Sabah secara terperinci,” jelas beliau.