KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk melonggarkan beberapa sektor ekonomi turut disokong oleh Pakar Perubatan.
Memetik kenyataan Berita Harian Online, Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi, berkata tidak adil untuk semua negeri mengikut SOP yang sama sedangkan hanya beberapa negeri menjadi menyumbang peningkatan kes.
Kerajaan perlu melihat semula prosedur operasi standard (SOP) kerana ia sepatutnya dilaksana berdasarkan situasi kes COVID-19 di setiap negeri.
Katanya, ketika ini banyak negeri sudah menunjukkan penurunan kes walaupun masih belum sampai ke tahap hijau lagi.
“Mungkin ini masanya untuk kerajaan melihat semula SOP yang dibuat dan mula membenarkan aktiviti yang boleh dan sesuai mengikut keadaan semasa…
“Rakyat sudah semakin penat dan tertekan dengan apa yang berlaku sekarang. Ini sekali gus boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka.
“SOP sekarang dibuat berdasarkan jumlah keseluruhan kes, jadi saya berpendapat supaya kerajaan membuat SOP mengikut situasi kes di negeri atau mengambil contoh dibuat Sabah,” katanya lagi.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada dua hari lepas (28 Jun) mengumumkan untuk membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini (29 Jun).
Menurut kenyataan itu, ia termasuk kebenaran makan di restoran (dine-in), kedai makan dan restoran hotel, selain pembukaan kedai menjual sayur, ikan dan buah di tepi jalan serta kedai gunting rambut.
Selain itu, turut dibenarkan adalah aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal.
Kenyataan itu juga membenarkan semua aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengeluarkan SOP dalam masa terdekat terhadap keputusan itu.
Salah satu sebab pembukaan beberapa sektor ekonomi dilakukan selepas melihat kadar kes jangkitan COVID-19 di Sabah masih terkawal dan kekal berada 3 angka sehari (kurang dari 300 kes sehari).
Walau bagaimanapun keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri Sabah untuk melonggarkan beberapa sektor ekonomi telah disanggah oleh MKN.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan (kelmarin) berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat SOP yang berbeza ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi COVID-19.
Ismail berkata, beliau turut mengesahkan bahawa wakil kerajaan Sabah sudah diberitahu berhubung perkara itu ketika Sidang Khas MKN (Isnin).
“Kita beritahu bahawa Sabah mesti sama dengan setiap negeri di dalam negara…
“Sabah tak boleh berbeza, sedangkan negeri lain ikut SOP seperti yang diputuskan MKN,” ujar Ismail lagi ketika sidang media di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (kelmarin).
Keputusan terkini oleh MKN tersebut jelas membangkitkan sentimen rasa kurang senang dikalangan majoriti rakyat Sabah terhadap layanan MKN kepada Ketua Menteri Sabah.
Sebilangan rakyat Sabah turut melancarkan hashtag #SabahRumahKami, #RumahKitaKitaJaga dan turut memuat naik poster ‘We Stand With CM’ melalui aplikasi Facebook dan WhatsApp sebagai tanda solidariti mereka kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Kelihatan mesej turut dihantar meminta agar seluruh rakyat Sabah melupakan seketika fahaman politik sambil menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Hajiji.
“Keputusan Ketua Menteri Sabah adalah keputusan seluruh rakyat di Sabah, tolong hormat Ketua Menteri kami,” demikian di antara mesej yang turut disebarkan dikalangan rakyat Sabah.