KOTA KINABALU, SABAH – Semua pihak perlu meningkatkan kerjasama bagi memupuk kesedaran masyarakat mendepani fenomena El Nino.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata fenomena El Nino yang mengakibatkan keadaan panas dan kering boleh menjadi punca berlakunya kebakaran.
“Kerjasama bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) amat penting dalam memberikan penerangan dan kesedaran kepada masyarakat berkenaan fenomena el nino agar langkah-langkah pencegahan awal dapat dilakukan.
“Pendekatan jangka masa pendek dan panjang juga perlu diperhalusi untuk mencari solusi terbaik bagi menghadapi El Nino memandangkan fenomena ini akan berulang setiap tahun,“ ujarnya.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dalam mencegah pembakaran terbuka.
Selain itu, katanya, Pejabat Parlimen Sepanggar juga akan terus berusaha membantu penduduk kawasan sekitar dalam membekalkan bekalan air bersih memandangkan terdapat permintaan yang agak tinggi ketika ini walaupun sumber agak terhad.
“Fenomena El Nino kali ini agak mencabar memandangkan beberapa kawasan di Sepanggar menghadapi masalah air yang agak kritikal kerana sumber air bukit turut berkurang dan memberi kesan kepada penduduk yang berada di kawasan bukit.
“Beberapa kawasan hanya menerima bekalan botol air mineral memandangkan kawasan yang tidak dapat dicapai namun Pejabat Parlimen Sepanggar akan sedaya upaya menyantuni semua masyarakat yang terkesan,” jelasnya.
Mustapha turut memaklumkan kawasan-kawasan yang terkesan akibat fenomena El Nino perlu diberikan tumpuan lebih agar bantuan yang sewajarnya dapat diberikan.
Beliau ditemui media di Program Jalinan Mesra dan Majlis Berbuka Puasa Sempena Bulan Ramadhan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah.
Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan Program Sumbangan yang dianjurkan oleh Ming Garden Hotel kepada anak-anak yatim dari Rumah Amal Kasih. — JABATAN PENERANGAN SABAH