SICC Santuni 35 Pelajar Tahfiz

SICC Santuni 35 Pelajar Tahfiz

0
SHARE
Sicc
Salah seorang pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah mengucapkan terima kasih kepada Rosmawati diatas sumbangan yang diterima ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) menyantuni 35 pelajar tahfiz menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Rosmawati Lasuki berkata, pelajar tahfiz yang diraikan adalah daripada Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Kota Kinabalu dan Madrasah Darul Hadis Sabah, Putatan sekali gus menjadi kumpulan pertama menikmati “Taste Of The World”.

“Selain penyampaian sumbangan wang tunai melalui CSR, SICC juga memberi peluang kepada pelajar ini untuk menjadi kumpulan pertama merasai sendiri 800 hidangan bufet yang ditawarkan pada Pelancaran Bufet Makan Malam Ramadan Taste of the World.

“Sebagai sebuah anak syarikat kerajaan SICC akan sentiasa meneruskan program-program CSR pada pada masa akan datang,” ujarnya pada majlis berbuka puasa di Kinabatangan Hall.

Jelas Rosmawati, pelancaran Bufet Makan Malam Ramadan itu juga adalah sebagai tanda penghargaan warganya kerjanya terhadap pencapaian SICC yang memenangi Anugerah ASEAN MICE Venue Standard, baru-baru ini.

Beliau berharap agar semua masyarakat terutama warga Bandaraya Kota Kinabalu dapat menikmati kepelbagaian juadah yang dihidangkan oleh SICC sepanjang bulan Ramadan tahun ini dengan lebih 1,300 tempat duduk ditawarkan kepada pelanggan.

Sementara itu, pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Kota Kinabalu, Muhammad Rafie Rape, 17, menyatakan rasa syukur terhadap sumbangan yang diterimanya daripada SICC.

Menurut Rafie, menikmati suasana berbuka puasa secara bufet yang menawarkan pelbagai juadah antarabangsa itu adalah pengalaman kali pertama dan berpendapat program tersebut harus diteruskan pada masa akan datang.

Turut gembira dengan bantuan yang diterima adalah pelajar Madrasah Darul Hadis Sabah, Muhammad Khairul Ikhwan Mulyadi, 17.

Beliau yang bercita-cita menjadi pendidik memuji usaha SICC dalam memberi peluang kepada beliau dan rakan-rakannya untuk menjadi antara yang pertama menikmati juadah yang disediakan oleh SICC pada tahun ini.

Harapan beliau agar acara CSR tersebut dapat diperluaskan lagi kepada golongan asnaf yang lain termasuk persatuan-persatuan kebajikan dan rumah anak-anak yatim pada masa akan datang. — JABATAN PENERANGAN SABAH