JPS Sabah Kenal Pasti 9 Sungai Di Kuala Penyu Perlu Penyelenggaraan Untuk...

JPS Sabah Kenal Pasti 9 Sungai Di Kuala Penyu Perlu Penyelenggaraan Untuk Elak Banjir

0
SHARE
Jonas bersama Patrick (kiri) ketika meninjau salah satu sungai di Kuala Penyu yang perlu dilebar dan dibersihkan untuk pemulihan semula...

KUALA PENYU, SABAH – Sekurang-kurangnya sembilan sungai di daerah Kuala Penyu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah memerlukan penyelenggaraan bagi mengelak beberapa kampung di daerah ini dilanja banjir kilat.

Sungai berkenaan ialah Sungai Kerukan, Menunggang, Kasugira, Melampai, Kilugus, Kelampun, Papas dan Ruyut.

Berikutan itu, Ketua Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kuala Penyu, Jonas Sunggim meminta pihak kerajaan supaya menjalankan penyelenggaran untuk membaik-pulih keadaan sungai-sungai berkenaan yang menjadi cetek akibat hakisan dan ditumbi semak-samun.

Katanya, sebahagian sungai tersebut telah mengakibatkan banjir kilat berlaku di beberapa kampung baru-baru ini.

“Sebelum ini kita tidak pernah berlaku banjir di kampung-kampung di Kuala Penyu sebelum ini namun keadaan sungai yang terbiar dan tidak diurus sebagaimana sepatutnya mengakibatkan banjir kilat ketika musim,” katanya di sini.

Beliau menyatakan perkara itu selepas melakukan tinjauan sungai terbabit bersama Penguasa Jabatan Pengairan Saliran Kuala Penyu, Patrick Vitalis Juin, baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya sudah berbincang kepada Jabatan Pengairan dan Saliran daerah supaya mengemukakan cadangan terbaik kepada kerajaan supaya keadaan sungai-sungai berkenaan dapat diselenggara termasuk melebarkannya dan kerja-kerja pembersihan.

“Kita mencadangkan supaya kerajaan negeri dan persekutuan menyediakan peruntukan khas kepada jabatan berkenaan agar sungai terbabit dapat dipulihkan dan dapat berfungsi serta tidak menjadi punca bencana berlaku seperti banjir,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa kampung di daerah ini yang dilanda banjir menyebabkan rumah penduduk ditenggalami air dan menimbulkan pelbagai kesulitan kepada mereka termasuk kerosakan dan kehilangan harta benda.

Jonas berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berulang lagi dan ia boleh dielakkan sekiranya keadaan sungai-sungai yang ada dapat dipulihkan semula bagi mengelak limpahan air dari kawasan sungai.

Katanya, beliau juga sudah memaklumkan masalah itu kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Guandee Kohoi supaya ia dapat diambil tindakan kerajaan negeri dan persekutuan.