
KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong menyeru anggota perkhidmatan awam untuk membantu kerajaan merealisasikan inisiatif pendigitalan.
Menurut Safar, pada zaman yang serba pantas kini, keinginan dan kehendak rakyat menuntut perubahan dalam mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
“Perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada negara, justeru adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa memberikan yang terbaik dengan menghayati prinsip Humanizing Service Delivery iaitu Serve With Soul atau berkhidmat dengan sepenuh jiwa.
“Bagi memenuhi kehendak rakyat, kita mestilah sentiasa berpandangan jauh ke hadapan untuk memastikan penjawat awam terus kekal relevan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Saya berharap agar semua warga perkhidmatan awam terutamanya Jabatan Ketua Menteri dapat merealisasikan dan mendukung usaha inisiatif pendigitalan dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Ini adalah selaras dengan pelaksanaan inisiatif Digitalization ke era ‘Smart Digital Government’ iaitu Konsep Kerajaan Digital yang berlandaskan 5A iaitu Accessible by Anyone At Anytime, Anywhere, and by Any Mobile Device,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Jabatan Ketua Menteri Tahun 2018 – 2023 di sini, pada Jumaat.
Safar berkata pengiktirafan dan penghargaan seumpamanya dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha bagi mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi.
“Semoga penghargaan ini menjadi pendorong dan penyuntik semangat untuk terus proaktif dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti dan seterusnya menjadi role model, mentor terbaik kepada warga yang lain,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hadir bagi menyempurnakan penyampaian anugerah.
Seramai 125 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala 39 penerima Anugerah Khas terpilih dari Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang terdiri daripada 15 pejabat, bahagian dan unit bagi tahun 2018 hingga 2023.
Turut hadir, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zainuddin Aman. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ