KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 5,915 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Khas Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata sepanjang tempoh tersebut, JPJ membuat 18,668 pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan.
“Hasil operasi khas ini, pihak JPJ mendapati 32 peratus pengguna jalan raya di negeri ini melakukan pelbagai kesalahan yang melibatkan Akta JPJ dan lain-lain kesalahan jalan raya.
“Daripada peratusan tersebut, kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu (tiada CDL) atau memandu tanpa lesen iaitu sebanyak 1,921 kes yang mana penunggang motosikal menjadi penyumbang kepada kadar pematuhan terendah iaitu 54 peratus.
“Sehubungan itu, sebanyak 110 buah motosikal telah disita sebagai langkah kawalan.
“Turut direkodkan, 1,323 kes kesalahan Lesen Kenderaan Tamat Tempoh (tiada LKM/ cukai jalan tamat tempoh) manakala 924 kes kesalahan kenderaan tiada perlindungan insurans sekaligus tidak memiliki LKM.
“Manakala, sebanyak 825 pemandu melakukan lain-lain kesalahan, 499 kes melibatkan kesalahan teknikal manakala 245 kes melakukan kesalahan Tiada Lesen Vokasional (GDL/PSV/Konduktor).
“Kesalahan utama lain yang direkodkan adalah memotong barisan (jumping que), memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, mengguna telefon bimbit, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar serta memandu di lorong kanan secara berterusan dengan 178 kes direkodkan,” jelasnya ketika ditemui media semasa Ops Khas berkenaan di Jalan Tuaran Bypass, petang Jumaat.
Ops Khas tersebut turut dibantu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPM Sabah) serta Bahagian Penguatkuasa JPJ dengan kekuatan seramai 50 orang pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Menurut Lokman, bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk bersama melaporkan kesalahan-kesalahan pemanduan jalan raya secara terus kepada pihak JPJ.
Jelasnya, semua aduan boleh diajukan secara real time dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel terus kepada aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran aduan yang lengkap agar tindakan susulan boleh dilakukan. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ