LABUAN: Pengerusi Tetap STAR P166 Labuan, Jafery Jomion tampil mempertahankan Presiden Parti STAR Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan susulan laporan media yang cuba mengaitkan beliau dengan dakwaan dana politik berkaitan industri perlombongan di Sabah.
Dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan hari ini, Jafery menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu percaturan politik terancang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam tempoh lima bulan akan datang.
“Setiap pokok yang berbuah lebat pasti dibaling batu, begitu juga perjuangan pemimpin tulen MA63 yang tidak mudah tunduk kepada tekanan dan kutukan. Kami telah bersama YB Presiden lebih 30 tahun, dan semangat perjuangan tahun 1985 dan 1986 kini kembali menyala,” katanya.
Menurut beliau, Datuk Dr. Jeffrey merupakan simbol keteguhan prinsip dalam memperjuangkan hak-hak Sabah berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah pernah dipenjarakan selama 2 tahun 7 bulan atas dasar perjuangan tersebut.
“Saya berdiri teguh mempertahankan integriti Presiden kami. Kepimpinan beliau bukan muncul sehari dua, tetapi telah melalui ujian masa, tekanan dan pengorbanan,” ujarnya.
Jafery menolak keras sebarang cubaan untuk menjatuhkan Presiden STAR melalui permainan persepsi dan media, serta menegaskan bahawa sebarang siasatan wajar diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa campur tangan politik.
Beliau juga yakin bahawa rakyat Sabah cukup matang untuk menilai dan tidak akan mudah terpengaruh dengan fitnah yang tidak disokong bukti.
“Yang benar akan tetap benar walau bersendirian; dan yang salah tetap salah walau disokong lautan manusia,” tegas Jafery dalam penutup kenyataannya.
Beliau turut menyeru seluruh akar umbi STAR untuk kekal bersatu dan terus mendukung perjuangan berasaskan dasar dan prinsip, bukan semata-mata kerana individu.






