KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tanjung Aru, Dr. Ritchie Jay Cheng menyifatkan tuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpin negeri sebagai tidak masuk akal dan berkemungkinan sebahagian daripada konspirasi politik untuk menjatuhkan kerajaan.
Beliau merujuk kepada dakwaan kononnya menteri dan timbalan menteri menerima sogokan bagi meluluskan lesen carigali mineral, sambil menyatakan bahawa tuduhan itu tidak berasas.
“Lesen carigali adalah di bawah bidang kuasa agensi teknikal, bukan menteri. Tuduhan ini ibarat cuba merasuah seorang doktor gigi atau wireman untuk mendapatkan lesen menjual telur. Mereka tiada kuasa langsung,” katanya.
Dr. Ritchie turut mengingatkan pengundi supaya kekal rasional, menjunjung prinsip keadilan, dan terus menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kesinambungan pembangunan di negeri ini.
Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17, beliau berpendapat tuduhan-tuduhan itu mungkin sengaja direka sebagai perangkap terhadap pegawai kerajaan, dan tanpa niat sebenar untuk mempengaruhi keputusan, pendakwaan seumpama itu adalah lemah.
Di sebalik hiruk-pikuk politik, beliau menegaskan kerajaan terus komited dalam usaha membela rakyat.
Beliau ditemui pada Ahad semasa program penyerahan jaket keselamatan dan lampu kepada 50 nelayan di Tanjung Aru.
Ianya merupkan kali pertama inisiatif seumpamanya diadakan di kawasan itu sebagai bukti sokongan berterusan kepada komuniti.






