RM1.5 Bilion Bukti Kesungguhan Kerajaan MADANI Tunaikan Hak Sabah – Mustapha

RM1.5 Bilion Bukti Kesungguhan Kerajaan MADANI Tunaikan Hak Sabah – Mustapha

0
SHARE

PENAMPANG: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion disifatkan sebagai bukti jelas komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat dan bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah kerana menunjukkan kesediaan Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh kedudukan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri.

“Pengumuman ini merupakan satu lagi bukti jelas komitmen, keberanian dan kesungguhan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mustapha, sebelum perubahan kerajaan Persekutuan pada tahun 2022, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun selama berdekad-dekad walaupun tuntutan 40 peratus hasil negeri termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika ini, jumlah bayaran khas kepada Sabah meningkat secara konsisten daripada RM125.6 juta pada tahun 2022 kepada RM300 juta bagi tahun 2023 dan 2024, sebelum dinaikkan kepada RM600 juta pada tahun 2025 dan 2026.

“Peningkatan secara konsisten ini membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah merupakan perkara yang telah berlarutan selama puluhan tahun dan memerlukan komitmen politik yang kukuh serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian yang menyeluruh.

“Kita harus berlaku adil dalam menilai perkembangan ini. Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah merupakan perkara yang telah berlarutan selama puluhan tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kuat serta hubungan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, pengumuman RM1.5 bilion ini merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Mustapha menegaskan perjuangan menuntut hak Sabah akan terus diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pendekatan yang matang, berhemah dan berpandangan jauh perlu diteruskan bagi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan serta hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya yakin, di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan semangat Malaysia MADANI, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memperjuangkan hak Sabah secara konstruktif dan bertanggungjawab demi memastikan kepentingan negeri itu terus terpelihara.