PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Bagaimanapun, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menegaskan bahawa usaha memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah perlu diteruskan sehingga mencapai penyelesaian yang menyeluruh.
Katanya, pengumuman oleh Perdana Menteri itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan berkaitan hak hasil Sabah secara berperingkat sementara rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus dilaksanakan.
“Bagi pihak UPKO, saya mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah serta keputusan meningkatkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan yang dirasmikan Perdana Menteri, hari ini.
Menurut Ewon, peningkatan bayaran interim itu merupakan langkah positif ke arah merealisasikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun usaha ke arah penyelesaian muktamad perlu diteruskan demi memastikan hak negeri itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya, UPKO akan terus menyokong segala usaha yang menjurus kepada pemulihan hak-hak Sabah berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.
“UPKO akan terus menyokong usaha yang menjurus kepada pemulihan hak-hak Sabah berdasarkan semangat MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Ewon berkata perayaan itu bukan sahaja mencerminkan warisan budaya masyarakat Sabah, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi juga simbol kesyukuran, perpaduan dan identiti rakyat Sabah yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya sempena perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Menurut beliau, rundingan yang sedang berlangsung ketika ini bertujuan memuktamadkan mekanisme pelaksanaannya, termasuk aspek perundangan dan kewangan yang melibatkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Sementara proses rundingan itu diteruskan, Perdana Menteri telah mengumumkan peningkatan pembayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara ke arah penyelesaian yang lebih menyeluruh.






