Adik Selamat, Abang Masih Hilang, Lemas Ketika Mandi-Manda di Pantai Batu Linting

Adik Selamat, Abang Masih Hilang, Lemas Ketika Mandi-Manda di Pantai Batu Linting

0
SHARE

KUALA PENYU: Kegembiraan dua beradik mandi-manda di Pantai Batu Linting, Sunset Villa, Jalan Mansut, Menumbuk bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka berjaya diselamatkan manakala abangnya masih hilang selepas dipercayai lemas dalam kejadian Jumaat lepas.

Mangsa yang masih belum ditemui dikenali sebagai Jason Alexander Jonathan, 15 tahun, manakala adiknya, Jeremy Evans Jonathan, 13 tahun, berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga ketika kejadian.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.22 petang Jumaat sebelum menggerakkan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6 petang dan dimaklumkan bahawa kedua-dua mangsa dipercayai lemas ketika bermandi-manda di kawasan pantai berkenaan.

Ketua Balai BBP Kuala Penyu, PPgB Zulhalim Abidin berkata, seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga, namun seorang lagi gagal ditemui akibat keadaan ombak yang kuat.

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan kaedah Water Surface Search and Rescue (WSSAR) di kawasan pesisir pantai sejurus tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan hari kedua (Sabtu, 30 Mei) dengan penglibatan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, operasi hari kedua bermula pada jam 9.15 pagi dengan pasukan penyelamat memperluaskan pencarian di kawasan perairan dan sepanjang pesisir pantai.

“Pasukan bomba menjalankan pencarian sejauh kira-kira lima kilometer di sepanjang pantai, manakala PDRM turut membantu melalui pencarian udara menggunakan helikopter bagi memperluaskan kawasan operasi,” katanya.

Beliau berkata, usaha pencarian dilaksanakan secara bersepadu melibatkan rondaan permukaan air, pemeriksaan di kawasan berpotensi serta pemantauan berterusan di daratan dan udara.

Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang, mangsa masih belum ditemui.

“Operasi SAR akan disambung semula esok bagi meneruskan pencarian mangsa,” katanya.

Operasi hari kedua melibatkan sembilan anggota BBP Kuala Penyu dengan penggunaan sebuah jentera CFRT, sebuah URV dan sebuah Water Tanker.